soalan Lazim
Soalan yang kerap ditanyakan oleh pelanggan
SIAPAKAH AQIQAH SELATAN?
Aqiqah Selatan mempunyai 6 tahun pengalaman sejak 2016 telah mengendalikan lebih 35000 penyembelihan aqiqah di johor, melaka, selangor, mekah dan Indonesia.
Aqiqah Selatan berdaftar dengan SSM pada tahun 2015 atas syarikat NXT LVL GLOBAL RESOURCES .
APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN AQIQAH DAN APAKAH HUKUMNYA?
Aqiqah adalah sembelihan yang dilakukan pada hari ke-7 selepas kelahiran bayi sebagai tanda syukur kepada Allah subhanahu Wa Ta’ala atas kelahiran bayi tersebut. Hukum Aqiqah adalah Sunat Muakkad, iaitu sunat yang sangat dituntut oleh Islam.
MENURUT SYARIAT ISLAM, BILAKAH WAKTU PERLAKSANAAN AQIQAH INI?
Waktu yang terbaik melaksanakan aqiqah adalah pada hari ke-7 selepas kelahiran bayi. Ia juga boleh dilaksanakan pada hari ke-14, atau hari ke-21 sekiranya waktu tidak mengizinkan pada hari ke-7 seperti mana yang disebutkan di dalam hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Adapun sekiranya selepas dari bilangan waktu yang disebutkan, maka ianya tidak mengapa kerana hukum asas/ asal aqiqah itu adalah perlaksanaannya itu ke atas setiap kelahiran sekali seumur hidup.
APAKAH HIKMAH PERBEZAAN JUMLAH KAMBING AQIQAH ANTARA LELAKI DAN WANITA?
Inilah Qaedah Islam yang sempurna yang mana Allah subhanahu Wa Ta’ala telah meletakkan setiap pensyariatan terhadap kaum lelaki dua kali ganda dari wanita. Allah menjadikan setiap pembahagian hukum-hukum penting bagi wanita separuh daripada lelaki selari dengan tanggungjawab yang di amanahkan, seperti hukum faraid, diyat (denda qisas), saksi, pembebasan hamba dan sebagainya. Hal ini kerana amanah lelaki adalah dua kali ganti dari sang wanita kerana tanggungjawab nafkahnya kepada isteri dan anak-anaknya, kepada ibu bapanya dan sebagainya.
Simbolik aqiqah yang sama dengan hukum umum di dalam Islam ini adalah sebagai tanda pengiktirafan dari kecil/bayi tersebut untuk menerima hukum dan ketetapan Allah ini. Begitu juga kepada ibu bapa yang patuh akan ketetapan amalan sunat muakkad ini menjadi simbol ketaatan mereka dalam perlaksanaan amalan-amalan wajib yang lain yang mempunyai konsep yang sama.
BERAPA KALIKAH SAYA PERLU MELAKSANAKAN IBADAH AQIQAH?
Sekiranya tidak mampu untuk melaksanakan aqiqah 2 ekor sekaligus bagi anak lelaki, maka diperbolehkan untuk menyembelih seekor dahulu dan seekor lagi di waktu lain sekiranya sudah berkemampuan.
APAKAH PERBEZAAN ANTARA IBADAH AQIQAH DAN IBADAH QURBAN?
Ibadah Aqiqah adalah ibadah khusus yang dilaksanakan kerana kelahiran bayi baru yang mana ianya dilaksanakan atas tujuan kesyukuran kita kepada Allah subhanahu Wa Ta’ala. Waktu ibadah ini adalah tidak terhad dan boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja mengikut kemampuan masing-masing. Adapun Ibadah Qurban adalah ibadah khusus yang dilaksanakan pada waktu tertentu sahaja, iaitu pada Musim Haji. Ia adalah ibadah yang terhad waktunya iaitu dari 10 zulhijjah sehingga 13 Zulhijjah sahaja. Selain itu, hukum antara kedua-duanya juga turut berbeza yang mana para ulama berbeza pendapat berkenaan hukum ibadah Qurban ini. Majoriti ulama mengatakan bahawa ibadah Qurban adalah WAJIB berdasarkan ayat al-Quran di dalam surah al-Kauthar, yang bermaksud: “Maka solatlah kamu dan laksanakanlah Qurban”– Ayat 2. Hukum wajib itu adalah berdasarkan kepada lafaz ‘arahan/ perintah/ suruhan’ yang digunakan oleh Allah subhanahu wa Ta’ala di dalam ayat ini.Adapun hukum ibadah Aqiqah adalah Sunat Muakkad, iaitu sunat yang dituntut (bawah sedikit dari hukum wajib).
Wallahu a’lam.
APAKAH HUKUM SEKIRANYA SAYA SUDAH BESAR/ AKIL BALIGH TETAPI MASIH BELUM MELAKSANAKAN AQIQAH?
Hukum asal Aqiqah adalah tanggungjawab bapa (dari duitnya) mengikut kadar kemampuan. Ianya dituntut sehinggalah anak tersebut mencapai umur akil baligh. Adapun selepas baligh, maka bapa tidak lagi terikat dengan hukum aqiqah tersebut dengan syarat beliau memang tidak mampu dari sudut kewangan dan sebagainya.
Anak tersebut boleh melaksanakan aqiqah untuk dirinya sendiri setelah dewasa dan mempunyai lebihan rezeki.
BOLEHKAH ORANG LAIN SELAIN BAPA SEPERTI IBU, PAK CIK, MAKCIK, DATUK DAN NENEK MELAKUKAN AQIQAH UNTUK ANAK?
Boleh, dengan keizinan bapanya kerana tanggungjawab asal Aqiqah adalah kepada bapa anak tersebut, iaitu dari hartanya sendiri.
WAKTU YANG TERBAIK UNTUK MELAKUKAN AQIQAH, DAN APAKAH HIKMAHNYA?
Waktu yang terbaik adalah hari ke 7 seperti mana yang disebutkan di soalan no. 2 di atas. Sebahagian ulama mengatakan bahawa hikmah penentuan hari ke 7 ini adalah kerana sebagai simbolik kesempurnaan 7 hari dalam seminggu selepas bayi tersebut dilahirkan, sekaligus menanam sikap optimis dalam diri ibu bapa supaya anak tersebut akan dikurniakan umur yang panjang dan juga dikurniakan kesihatan yang berpanjangan.
BAGAIMANAKAH KIRAAN HARI UNTUK MENENTUKAN HARI KETUJUH?
Kiraan hari ketujuh adalah bermula dari tarikh bayi itu dilahirkan. Hari pertama kelahiran merupakan hari pertama dalam kiraan, tidak kira samada pagi, tengahari ataupun malam. Contohnya, bayi dilahirkan pada 1 Januari, maka hari ketujuh adalah pada 7 Januari, dan bukannya 8 Januari.
WAJIB BERAKAD AQIQAH SECARA LISAN DAN BERTEMU MUKA?
Tidak Wajib kerana akad dalam urusan jual beli hukumnya sunat. Akad pada asasnya adalah persetujuan antara 2 pihak dalam sesuatu urusan. Akad yang dilakukan melalui telefon atau bacaan di dalam kertas adalah sudah memadai kerana persetujuan dan perwakilan antara kedua pihak jelas dinyatakan. Pembayaran yang dibuat oleh pihak pembeli kepada penjual/ pemberi khidmta membuktikan bahawa si pembeli telah bersetuju dan meredhai urusan tersebut.
APAKAH HUKUM AQIQAH BAGI BAYI YANG MATI DI DALAM KANDUNGAN?
Sekiranya bayi tersebut meninggal di dalam kandungan dan umurnya telah berumur 5 bulan dan ke atas, maka sebaiknya dilaksanakan aqiqah untuknya kerana pada umur tersebut, bayi itu telah mempunyai roh, disolatkan jenazahnya dan dikafankannya.
Adapun sekiranya umur bayi tersebut adalah 4 bulan dan ke bawah, maka tidak perlu aqiqah untuknya kerana ia masih dikira segumpal darah dan daging yang belum ditiupkan roh ke atasnya.